Sunday 27 November 2011

Jadilah Hamba Yang Ikhlas

Ikhlas itu bererti setiap apa yang kita lakukan itu tidak mengharapkan apa-apa faedah, gelaran, pujian, kemuliaan dan pangkat dari sesiapa melainkan Allah s.w.t semata-mata. Islam mewajibkan setiap umatNya melakukan setiap amalan dengan ikhlas kerana ia merupakan inti pati dan penentu penerimaan amalan. Firman Allah s.w.t : "Padahal mereka tidak diperintahkan, melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadah kepadaNya dalam (menjalankan) agama dengan lurus, dan supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat, dan yang demikian itulah agama yang benar" (al-Bayyinah:5) Setiap amalan yang ikhlas kerana Allah s.w.t akan diangkat dan diterima olehNya. Amalan yang dilakukan dengan tidak ikhlas pula bukan sahaja tidak diterima malah menjurus kepada kemurkaan Allah s.w.t. Niat dan keikhlasan adalah saling berkait rapat. Keikhlasan akan terbit dari apa yang diniatkan. Hal ini telah disebut dalam hadith daripada Umar r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya semua amalan perbuatan adalah dinilai mengikut niat dan setiap orang dinilai dengan niatnya. Sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya dinilai mengikut niatnya menuju kepada Allah dan RasulNya. Sesiapa yang berhijrah untuk mendapatkan dunia atau wanita untuk dikahwininya, maka hijrahnya dinilai mengikut tujuan hijrah itu"(Riwayat Bukhari dan Muslim)

0 comments: